Sabtu, 28 Mei 2011

Tazkirah: Jahil Tapi Berfatwa?

Assalamu'alaikum Wrt. Wbt.


Untuk post kali ini,saya ingin berkongsi dengan sahabat dan saudaraku sekaliannya tentang FATWA.Email yang diterima ini saya kongsikan bersama untuk kita sama-sama fahamkan seterusnya menilai dan muhasabah diri untuk memperbaiki diri kita sendiri.Mudah-mudahan artikel ini dapat dijadikan panduan kepada kita yang kurang berpengetahuan tentang fatwa.InsyaAllah..:-


Jahil Tapi Berfatwa: ahrasis.com


Segala puji bagi Allah SWT yang menurunkan kepada para hambaNya kitab Al-Quran yang tiada padanya keraguan atau kesesatan melainkan orang-orang yang mempelajarinya tanpa berguru dengan yang hak. Selawat dan Salam ke atas Nabi kita dan Tuan kita Nabi Muhammad SAW, doa yang menyelamatkan kita di dunia dan akhirat, juga ke atas sekelian ahli keluarga, para sahabat dan sekelian pengikut Baginda SAW sehingga ke hari pembalasan kelak.


Para pembaca yang budiman,

Topik kali ini dipetik daripada Grup Tahu Faham & Amal dengan tajuk asalnya: Peringatan Kepada Orang Yang Jahil Namun Berani Mengeluarkan Fatwa Tentang Hukum Hakam Agama. Semoga kita semua diberikan petunjuk oleh Allah SWT ke arah jalan yang lurus lagi diberikan nikmat ke atas mereka seperti jalan para Nabi, Siddiqin, Syuhadak dan orang-orang Soleh sekeliannya. Amin.


= Artikel Bermula =
Sudah terdapat segelintir individu  samada melalui Facebook,  forum soal jawab agama, blog dan melalui saluran yang ada di internet mahupun di luar sana yang amat berani mengeluarkan 'fatwa' dan pendapat sendiri dengan terus mengambil melalui Al-Quran dan Al-Hadith walaupun dalam keadaan jahil dan kekurangan ilmu-ilmu alat yang penting sebelum melayakkannya mengeluarkan sebarang pendapat mengenai hukum hakam agama.

Bagaimanakah  adabnya para Salafussoleh (mereka yang hidup di 3 kurun terbaik seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam) sebelum berani mengeluarkan fatwa?

Dari AbduLLah ibn Amr radiyaLLahu ‘anhu bahawa RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud :

"ALLah subhanahu wa ta’ala tidak akan mengangkat ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya dari hati ulama, tetapi dengan cara mematikan mereka, dan jika sudah tidak ada lagi seorang ulama yang masih hidup, maka manusia akan mengangkat pemimpin di kalangan orang-orang yang jahil (bodoh), jika (para pemimpin tersebut ditanya tentang kemusykilan agama) maka mereka akan berfatwa tanpa dasar ilmu, dengan itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan." (Riwayat Bukhari dan Muslim)



(Sheikh) Professor Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam kitabnya Al-Fatwa Bayna Al-Indibat at-Tasayyub (Fatwa Antara Ketelitian Dan Kecerobohan) menyatakan seorang mufti atau faqih yang menempati kedudukan Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wasallam dalam menyampaikan ketentuan hukum hakam Allah mesti mempunyai kapasiti (kemampuan) yang besar tentang ilmu-ilmu Islam. Antaranya:

1. Merangkumi selok-belok Bahasa Arab.

2. Pemahaman yang benar dan pengetahuan yang cukup tentang serba serbi kehidupan dan corak ragam manusia.

3. Kepakaran yang handal dalam menggali dan merumuskan suatu hukum berdasarkan kaedah-kaedah ijtihad.



Siapakah antara ciri-ciri mereka yang dilarang untuk berfatwa? Mereka ialah:

1. Orang yang tidak memiliki kemampuan dan pengetahuan tentang Bahasa Arab dengan selok beloknya termasuk ayat dan sasteranya agar membolehkannya memahami al Quran dan As-Sunnah tidak dibenarkan memberikan fatwa kepada manusia.

2. Orang yang tidak arif dan mengerti pendapat para ulamak terdahulu dari berbagai mazhab feqah dan tidak mengerti methodologi pengambilan hukum dan hal-hal yang berkaitan dengannya seperti mengetahui perkara-perkara yang disepakati bersama atau masih dalam pertikaian tidak dibolehkan mengeluarkan fatwa.

3. Orang yang tidak memiliki kepakaran dalam bidang Usul Feqah seperti mengenali Al-Qiyas dan Al-Illah; pada situasi apakah Al-Qiyas dibolehkan dan pada situasi apakah Al-Qiyas tidak dibenarkan.

4. Orang yang tidak menghayati pendapat para fuqahak yang tercantum dalam kitab-kitab mereka secara mendalam.

5. Orang yang tidak memiliki kepakaran dalam melakukan penelitian ke atas perbezaan pendapat di antara mereka dan mengenalpasti kaedah yang digunakan mereka dalam menggali hukum hakam syarak.



Al-Hafiz Al-Khatib Al-Baghdadi meriwayatkan dalam kitabnya "Al-Faqih Wal-Mutafaqqih" dari Al-Imam Syafi'e radiyaLlahu anhu berkata:
"Tidak dihalalkan bagi seseorang berfatwa mengenai agama Allah, kecuali seorang yang arif dengan Kitab Allah (Al-Quran), Nasikh dan Mansukh, Muhkam dan Mutasyabih, Ta'wil dan Tanzil, Makkiyah dan Madaniyyahnya; Apa yang dimaksudkan dengan satu-satu ayat; dalam masalah apa ia diturunkan. Selain itu, dia juga mesti menguasai hadith Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wasallam; Nasikh dan Mansukhnya. Pengetahuannya mengenai hadith Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam mesti setaraf pengetahuannya mengenai Al-Quran. Dia mesti juga menguasai Bahasa Arab; arif akan selok belok sya'ir, dan disiplin ilmu yang lain yang diperlukan untuk memahami Al-Quran.

Di samping itu, dia juga mesti menahan diri daripada (seronok) bercakap. Dia dituntut juga untuk memahami perbezaan pendapat di kalangan para ulama, selain harus memiliki kemampuan atau kepakaran dalam mengambil ketentuan hukum (istinbat). Jika semua syarat-syarat ini telah dimilikinya, maka barulah boleh baginya bercakap dan berfatwa tentang halal dan haram. Namun jika belum sampai pada darjat ini, dia hanya boleh membincangkan tentang ilmu pengetahuan, tetapi tidak dibenarkan untuk berfatwa."
 (Al-Faqih wal-Mutafaqqih, Juz 2, hlm 157, Cetakan Riyadh, Saudi Arabia)


Imam Ahmad Ibn Hanbal RadiyaLlahu anhu telah memberikan panduan dalam masalah ini, katanya:
"Seseorang tidak boleh menawarkan dirinya untuk berfatwa sebelum ada pada dirinya lima perkara:

Pertama: Mempunyai niat yang ikhlas. Sebab jika tiada niat (ikhlas), dia tidak akan mendapat cahaya (petunjuk) dalam melakukan fatwanya.

Kedua: Hendaklah dia mempunyai sifat kasih, rendah hati (tawadhuk) dan ketenangan jiwa.

Ketiga: Mempunyai keyakinan yang teguh dengan tugasnya dan memahami betul soalan yang sedang dihadapinya.

Keempat: Hidupnya dalam kecukupan, kerana jika tidak, dia akan dipengaruhi oleh orang yang berkepentingan.

Kelima: Mempunyai maklumat yang cukup tentang adat- istiadat dan selok belok kehidupan manusia."
 (Ibn Battutah, disalin oleh Ibn Qayyim dalam "Ilamul Muwaqqi'in" Juz 4 Hlm 199)


Larangan orang yang berfatwa tanpa dasar ilmu (jahil)

Imam Abu Hanifah radiyaLlahu anhu berpendapat :
"Wajib menghalang orang bodoh (mufti jahil) dan orang yang mempermainkan agama dari mengeluarkan fatwa".


Seorang lelaki pernah melihat Rabi'ah Ibn Abd Rahman, guru kepada Imam Malik sedang menangis, lalu ditanya:
"Hal apakah yang menyebabkan tuan menangis? Jawabnya: Ada seorang yang telah diminta untuk berfatwa, walhal dia tidak mengerti apa-apa dan fatwanya itu telah memudaratkan umat Islam, kerana itu, katanya lagi: "Sebahagian mufti lebih berhak masuk penjara daripada para pencuri."


Ibn Qayyim meriwayatkan dari beberapa ulama sezamannya:
"Bagaimana jika Rabi'ah menyaksikan zaman kita ini, dimana orang yang tidak berilmu berani memberikan fatwa dengan modal kejahilan dan keberanian semata-mata, pengalaman yang sedikit dan pengetahuan yang dangkal, tambahan pula memiliki sejarah hidup yang tidak elok dan tidak dikenal di kalangan para ulama. Pengetahuannya tentang Al-Quran, As-Sunnah dan ilmu-ilmu ulamak salaf sangat cetek dan dangkal. (Ibn Qayyim, I'lamul Muwaqqi'in, Juz 4, hlm 207-208)


Abu 'Abdillah Ibn Battutah meriwayatkan dari Al-A'masy dari Syaqiq dari Abdullah Ibn Mas'ud radiyallahu anhu berkata:
"Demi Allah, seseorang yang memberi fatwa bagi setiap soalan adalah orang gila!"

 

Al Hakam pernah berkata kepada Al-A'masy setelah mendengar riwayat tadi:
"Jika aku mendengar hadith tersebut dari dahulu lagi, nescaya aku tidak akan banyak berfatwa seperti apa yang telah aku lakukan selama ini". Kemudian Abu 'Abdillah menambahkan: Ini Abdullah Ibn Mas'ud bersumpah dengan nama Allah bahawa sesiapa berfatwa untuk setiap soalan adalah orang gila, sumpah beliau pasti benar, kalau begitu kebanyakan mufti pada zaman kita ini sudah menjadi gila! Mengapa? Kerana setiap mufti yang ditanya akan langsung memberi jawapan, tanpa berfikir lebih jauh atau berkata tidak, atau takut kerana Allah Subahanahu Wa Ta'ala (jika fatwanya salah), atau tidak takut untuk disoal balik: "Dari mana jawapan ini kami dapat? Akan tetapi yang paling mereka takuti dan gerun adalah sindiran bahawa dia tidak dapat menjawab soalan.

Pada hakikatnya dia telah melakukan perbuatan yang sangat besar yang tidak mampu dilakukan oleh orang yang lebih tinggi, luas dan dalam ilmu agamanya daripada dirinya, dan dia telah melakukan satu praktik perubatan yang tidak mampu dilakukan oleh seorang doktor yang sangat pakar."



Rujukan: (Sheikh) Professor Dr Yusuf Al-Qardhawi, Al-Fatwa Bayna Al-Indibat At-Tasayyub, (Fatwa & Antara Ketelitian & Kecerobohan), 1996, Thinker's Library, Selangor.
= Artikel Tamat =


Para pembaca yang dirahmati Allah sekelian,

Hendaknya kita selalu insaf akan segala kelalaian, kesilapan dan kesalahan kita dan senantiasalah bermuhasabah dan memperbaiki diri kita! Semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada lalai dan leka, juga daripada maksiat dan berdosa. Senantiasalah kita bertaubat kembali kepadaNya dan mengajak sekelian ahli keluarga serta masyarakat kita bersama-sama bertaubat kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang berjaya di dunia dan akhirat senantiasa memeriksa diri dan perbuatan mereka, kemudiannya memperbaiki diri, keluarga dan masyarakatnya, serta memastikan segalanya senantiasa berada di jalan yang lurus lagi diredhai Allah SWT.

Allahu Wa Rasuluhu A'lam.

Isnin, 23 Mei 2011

Tazkirah: Sumpah Fitnah - Fatwa Al-Qardhawi

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh..


Pembaca yang budiman..saya telah menerima email yang menghuraikan tentang SUMPAH FITNAH yang difatwakan oleh Syeikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi.Disini,saya cuma ingin berkongsi bersama-sama pembaca apa yang telah dihuraikan di dalam email tersebut.Semoga kita sama-sama diberi petunjuk ke jalan yang diredhai-Nya,dan menjauhi segala larangannya..Allahu Rabbi...






Soalan:

Bolehkah Syeikh jelaskan kedudukan kes fitnah serta pertuduhan ke atas saudara Anwar Ibrahim seperti yang dilakukan oleh sesetengah pihak di mana ianya dilakukan tanpa bukti dan saksi (menurut syara'). Apakah pandangan syara’ mengenai hal ini?


Jawapan:

Dengan nama Allah, Maha Pengasih Maha Penyayang.

Segala pujian untuk Allah SWT, selawat dan salam untuk RasulNya SAW serta keredhaan Allah buat orang yang mengikut sunnah dan bimbingan baginda SAW.

Syariat Islam diturunkan untuk melindungi kepentingan manusia, menjaga agama, nyawa, harta, maruah dan nama baik seseorang. Ini terkandung dalam Maqasid Shariah (matlamat syara`) di mana Islam melindungi kepentingan asas manusia iaitu nyawa, akal, harta, keturunan serta nama baik orang ramai.

Rasulullah SAW menegaskan dalam hadis baginda bermaksud:

“Setiap orang Islam haram menceroboh orang Islam yang lain; Haram menceroboh nyawanya, hartanya dan maruahnya”.


Dalam hadis tadi, baginda SAW menegaskan dengan jelas tentang pengharaman perkara-perkara tersebut itu. Sebaliknya Islam mengajar agar tiap orang melindungi dan menjaga maruah orang lain. Malah jika benar pun seseorang itu telah melakukan kesalahan, Islam menuntut agar ia tidak dihebahkan atau digembar-gemburkan tapi dilindungi (dirahsiakan sehingga diputuskan di mahkamah) demi menjaga maruah seseorang itu (selagi keputusan muktamad belum dicapai).

Dalam sebuah kisah (hadith), Rasulullah SAW bersabda kepada orang (sahabat) yang menasihati Mai’z agar datang menemuinya untuk membuat pengakuan zina dengan katanya:

“Mengapa tidak engkau tutup sahaja perkara ini dengan pakaian kamu. Andai saja engkau sembunyikan perkara itu, tentu ia lebih baik bagi kamu.”


Al-Quran menjelaskan dalam Surah An-Nur (24:19) -

“Sesungguhnya orang-orang yang suka tersebarnya kebejatan di kalangan orang yang beriman, untuk mereka seksa yang amat pedih di dunia dan di akhirat.”


Oleh kerana itu Islam menetapkan hukuman yang amat berat terhadap orang yang mengaibkan orang lain atau menceroboh maruah dan nama baik orang lain. Islam telah menetapkan tiga jenis hukuman terhadap orang yang melakukan fitnah keatas orang lain iaitu; hukuman fizikal, hukuman moral dan sosial serta hukuman spiritual.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nur (24:4) -

“Orang yang menuduh (wanita) orang Islam lain dgn tuduhan zina tapi tidak mengemukakan empat orang saksi maka sebatlah dia sebanyak 80 kali. Dan janganlah kamu terima persaksiannya buat selama-lamanya. Dan mereka itu orang yang fasiq (pembohong atau pendusta)!”


Ulama sepakat mengatakan tuduhan zina kepada lelaki muslim sama hukumannya dengan tuduh zina terhadap wanita muslimah. Ulamak juga sepakat bahawa tuduhan liwat adalah sama dengan zina. Dalam hal ini lumrahnya tuduhan zina ini (seperti lafaz ayat) ditujukan kepada golongan wanita. Namun jika ada sesiapa yang menuduh orang lelaki yang berbuat demikian maka menurut ijma' Ulamak ia termasuk dalam lingkungan makna ayat ini.

Hukuman fizikal yang dimaksudkan ialah 80 kali sebat. Manakala hukuman moral dan sosial ialah dengan menolak kesaksiannya buat selama-lamanya. Imam Abu Hanifah menegaskan bahawa walaupun orang berkenaan sudah bertaubat namun hukuman ini tetap berlaku dan berkuat kuasa iaitu ia tidak boleh menjadi saksi selama-lamanya. Adapun hukuman agama pula adalah ia dianggap sebagai orang yang fasiq.

Sebenarnya (sepatutnya) tidak akan ada orang yang berani berbuat demikian, iaitu menuduh dan memfitnah orang lain dengan tuduhan palsu melainkan orang yang fasiq atau rusak agama.

Sehubungan dengan ini Al-Quran menceritakan dengan agak terpeinci sebuah peristiwa yang dikenal sebagai “Hadith Al-Ifk” (kisah fitnah). Peristiwa yang berlaku di Madinah ini melibatkan isteri kesayangan Rasulullah SAW sendiri, anak Abu Bakar As-Siddiq RA (Khalifah Pertama) dan sahabat paling rapat dengan Rasulullah SAW. Beliau adalah Ummul Mukminin (ibu orang-orang beriman) Aisyah RA. Aisyah RA telah dituduh secara jahat oleh orang yang tidak bertanggungjawab yang kononnya ia telah berzina dengan seorang sahabat yang soleh serta terkenal baik dan tidak pernah bersikap serong serta berbuat jahat.

Cerita palsu ini berkembang dengan cepat dari bibir ke bibir dan menjadi perbualan ramai. Hampir sebulan lamanya perkara ini merebak di Madinah sehinggalah Allah SWT menurunkan ayat-ayat Al-Quran membersihkan nama baik Aisyah RA dari angkara fitnah ini. Ayat tersebut menyelar golongan munafiq yang melakukan kerja jahat tersebut. Ayat ini juga menegur masyarakat umat Islam ketika itu kerana tidak bertindak membendung fitnah yang menular itu di peringkat awal dengan tegas.

Allah SWT berfirman dalam surah An-Nur (24:11) -

“Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong (palsu) itu adalah dari kalangan kamu juga. Janganlah kamu menganggapnya buruk bahkan sebenarnya ada kebaikan untuk kamu. Setiap orang akan memikul dosa perbuatannya. Manakala orang yang paling besar peranannya dalam hal ini dari kalangan mereka pasti akan mendapat balasan azab yang paling besar pula.”


Yang memikul dosa besar dalan hal ini adalah kepala mereka iaitu Abdullah Bin Ubai Bin Salul, bapa kaum munafiq. Dialah yang mengheboh-hebohkan khabar angin ini. Dialah yang menyebutkan -

Demi Allah! Aisyah tidak selamat dari rangkulan orang itu dan orang itu pun tidak selamat dari godaan Aisyah.”
 (Ini satu bentuk sumpah fitnah yang secara tidak langsung menuduh sahabat Nabi SAW dan isteri Baginda, Aisyah RA - Ummul Mukminin melakukan zina. Na'uzubillahi min zalik!)


Fitnah ini berterusan memamah nama baik Saiyidatina Aisyah RA untuk beberapa lama hinggalah Al-Quran menegaskan dalam Surah An-Nur (24:12) -

“Sepatutnya apabila kamu mendengar cerita seperti ini, orang mukmin lelaki dan perempuan perlu menyangka yang baik dan sopan terhadap sesama sendiri lantas mengatakan; ini adalah pembohongan yang nyata.”


Ertinya - sepatutnya kamu menolak fitnah itu sejak awal-awal lagi dengan menekankan tentang dosanya dan perlunya orang berkenaan membawa dan menampilkan 4 orang saksi.

Allah SWT menegaskan dalam ayat berikutnya juga di surah An-Nur (24:13) -

“Seandainya mereka tidak menampilkan para saksi (seramai empat orang yang adil) maka orang-orang itu adalah golongan pendusta.”


Al-Quran mensyaratkan 4 orang saksi (yang adil) dalam kes yang berkaitan dengan maruah dan kehormatan diri. Dan sememangnya Islam bersikap keras dan tegas dalam hal yang melibatkan maruah serta nama baik orang lain.

Berbeza dengan kes berkaitan dengan harta maka Islam memadai dengan dua orang lelaki sebagai saksi atau seorang lelaki dan dua orang perempuan sebagai saksi.

Dalam kes berkaitan dengan maruah seperti fitnah ini, Islam mensyaratkan mesti dibawa empat orang saksi. Al-Quran menjelaskan “Seandainya mereka tidak menampilkan para saksi maka merekalah golongan pembohong”.

Al-Quran menjelaskan lagi dalam ayat yang berikutnya An-Nur (24:14) -

“Kalaulah tidak kerana kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan akhirat nescaya kamu ditimpa azab yang besar akibat perbuatan kamu itu.”


Maksudnya - Kerana rahmat dan kasih sayang Allah SWT kepada kamu maka kamu tidak digegar dan ditelan bumi ataupun dilanda dengan bencana taufan dan sebagainya sepertimana yang dialami oleh umat-umat sebelum ini (atau seperti di negara-negara lain yang telah kita saksikan akhir-akhir ini).

Al-Quran menegaskan lagi An-Nur (24:15) -

“Ketika kamu menerima fitnah tersebut dengan lidah kamu dan kamu menyambungnya dengan pertuturan mulut kamu sesuatu yang kamu sendiri tidak tahu, malah kamu menyangkanya perkara kecil (menyambung cerita fitnah) pada hal di sisi Allah perkara itu adalah suatu yang amat besar.”


Al-Quran memberikan pertunjuk yang cukup indah - Alangkah baiknya ketika mula kamu mendengar fitnah itu, kamu mengatakan "tidak wajar kita menghebahkan perkara ini. Maha suci Allah. Ini semata-mata pembohongan yang besar”.

Allah SWT menegaskan dalam surah An-Nur (24:16-17) -

Di mana Allah SWT mengingatkan : “Alangkah baiknya ketika kamu mula mendengar khabar angin atau fitnah seperti itu kamu lantas berkata: Tidak wajar kita membicarakan perkara seperti ini; Maha suci engkau (Ya Allah!) Ini memang pendustaan dan pembohongan yang besar. Allah menasihatkan kamu agar jangan sekali-kali mengulangi perbuatan seperti ini buat selama-lamanya, seandainya kamu benar-benar orang yang beriman."


Dalam ayat berikutnya Allah SWT berfirman (an-Nur 24:18) -

”Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat hukumnya. Allah Maha Mengetahui Maha Bijaksana”.


Kes pertuduhan seperti ini adalah suatu yang serius dan besar dalam ajaran syariat Islam; lebih-lebih lagi terhadap orang Islam. Perbuatan melemparkan pertuduhan palsu seperti ini menurut Islam adalah merupakan dosa besar dan haram hukumnya.

Umat Islam perlu mengelak diri dari mencemarkan maruah dan nama baik orang lain yang tidak bersalah. Kecuali jika benar benar ada bukti dan keterangan yang sah dan nyata dengan membawa saksi-saksi yang cukup seperti yang dikehendaki oleh syara’.

Inilah nasihat saya kepada umat Islam di Malaysia. Mereka perlu takut kepada Allah. Janganlah menuduh, memfitnah secara membuta tuli, merosakkan maruah dan nama baik orang kerana menurut hawa nafsu atau menurut dorongan politik dan golongan tertentu yang suka mendorong orang lain melakukan kejahatan seperti itu dengan menggunakan media massa dan sebagainya.

Kalau tidak, mereka harus ingat bahawa pengawasan Allah SWT terhadap kejahatan seperti itu tidak pernah luntur atau luput. Allah mungkin membiarkan atau memberi tempoh dan penangguhan masa untuk menjatuhkan hukumanNya; namun Allah tidak pernah lupa atau cuai untuk berbuat demikian bila sampai masanya. Allah berfirman dalam Surah Ibrahim (14:42) -

“Jangan kamu menyangka Allah lalai tentang apa yang dilakukan oleh golongan yang zalim itu”


Saya menasihatkan anak-anak saya rakyat Malaysia lelaki dan perempuan agar jangan mudah menceroboh maruah orang Islam yang lain. Lebih-lebih lagi terhadap orang yang memang terkenal baik, dihormati, berakhlak mulia dan luhur, seorang pendakwah yang berbudi pekerti mulia di dunia Islam; seperti saudara Anwar Ibrahim dan lain-lain.

Amat jelas, bahawa pertuduhan terhadap beliau adalah bermotifkan muslihat politik serta dilakukan oleh orang-orang yang memandang ringan perbuatan mengaibkan orang dengan tuduhan jahat seperti itu.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-An’am (6:144) -

“Siapakah yang lebih zalim dari orang yang melakukan pembohongan terhadap Allah untuk menyesatkan orang ramai tanpa ilmu pengetahuan. Sesungguhnya Allah tidak akan memberi petunjuk kepada golongan yang zalim!”


Saya berdoa agar Allah SWT mendedahkan hakikat yang sebenarnya. Saya mohon agar Allah SWT menangkan yang hak serta benar dan menumpaskan kebatilan yang batil. Saya berdoa agar Allah SWT menyatakan kebenaran saudara Anwar Ibrahim. Agar Allah SWT bebaskan beliau dari pertuduhan jahat ini. Biarlah Allah SWT dedahkan konspirasi orang-orang yang memburuk-burukkan beliau dan menyibarkan pembohongan dan fitnah di kalangan orang ramai secara tidak bertanggongjawab dan tidak takut melakukan dosa serta penderhakaan yang nyata kepada Allah SWT.

Insya Allah! Ketahuilah bahawa kebenaran tidak akan hilang atau tumpas, justeru Allah SWT pasti akan memenangkan yang hak dan benar, Allah SWT akan menumpaskan kebatilan walaupun golongan petualang tidak suka dan benci. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Isra’ (17:81) -

“Dan katakanlah: Telah tiba kebenaran dan telah lenyap kebatilan. Sesungguhnya kebatilan itu pasti akan lenyap!”


Sekian, wassalamu alaikum warahmatullah wabarakatuh!


Selasa, 17 Mei 2011

10 Perkara Yang Mematikan Hati...


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang.




Ketika Ibrahim bin Ad'ham (seorang ahli tasawuf) berada di pasar Basrah, telah dikerumuni beliau oleh orang ramai, di antaranya ada yang bertanya: "Ya Aba Ishak! Gelaran bagi Ibrahim bin Ad'ham mengapakah kami memohonkan doa kepada Allah, tetapi tidak dikabulkan doa kami?" Ibrahim bin Ad'ham menjawab: "Kerana hati kamu telah mati disebabkan sepuluh perkara:

1. Kamu mengenal Allah, tapi kamu tidak menunaikan hak-hakNya.
2. Kamu mengaku bahawa kamu cinta kepada Rasulullah saw, tetapi kamu tinggalkan sunnahnya.
3. Kamu telah membaca Al-Quran, tetapi kamu tidak beramal menurut Al-Quran.
4. Kamu telah makan nikmat-nikmat Allah, tetapi kamu tidak tunaikan syukurnya.
5. Kamu telah berkata bahawa syaitan itu musuh kamu, tetapi kamu tidak menentangnya.
6. Kamu telah berkata bahawa syurga itu benar adanya, tetapi kamu tidak beramal untuknya.
7. Kamu telah berkata bahawa neraka itu benar adanya, tetapi kamu tidak lari daripadanya.
8. Kamu telah berkata bahawa mati itu benar adanya, tetapi kamu tidak bersedia baginya.
9. Kamu bangun dari tidur lalu ceritakan keaiban manusia, tetapi kamu lupa keaiban kamu sendiri.
10. Kamu mengubur mayat-mayat saudara-saudara kamu, tetapi kamu tidak jadikan pelajaran bagi mereka.
Sesungguhnya hamba ingin berkongsi seterusnya mengingatkan diri yang banyak berlaku zalim kepada-Nya dan saudaraku sekaliannya...

Selasa, 8 Februari 2011

Bersosial ikut pintu belakang

Apabila anda mendengar perkataan ‘bersosial’, apakah yang terlintas di fikiran anda? Mat dan minah rempit bergaul bebas di tepi jalan raya? Mat punk berpeleseran di tepi kaki lima kompleks membeli belah?

Apabila anda terdengar perkataan ‘bersosial’, apakah lagi yang masuk di kepala otak anda? Lelaki dan perempuan menari di pusat kelab malam sambil memegang botol arak? Para pelacur jalanan yang sedang memanggil klien-klien mereka?

Selasa, 1 Februari 2011

Khutbah Terakhir


Tarikh : 9hb. Zulhijjah Tahun 10 Hijriah
Tempat : Lembah Uranah, Gunung Arafah. 

Wahai manusia, dengarlah baik baik apa yang hendakku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini, dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanah kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. 

Janganlah sakiti sesiapa pun, agar orang lain tidak menyakiti kamu pula.Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu, dan dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' di batalkan mulai sekarang. 

Belajar Ubati Kekecewaan


RASA kecewa atau kesal ada pada setiap orang. Bagi remaja, perasaan ini memang sudah sinonim. Masalah keluarga, putus cinta dan gagal dalam peperiksaan adalah antara punca utama. Kebiasaannya apabila sudah terkena ‘penyakit’ kecewa, ramai yang sukar mengikisnya.


Berasa kecewa atau kesal adalah normal, malah anda boleh dikatakan ‘tidak normal’ jika tidak pernah berasa kecewa sepanjang hidup! Bagaimanapun, jangan biar ia menguasai diri hingga mendorong anda bertindak luar dugaan dan mengalami tekanan yang boleh merosakkan diri dan kerjaya.


Sebagai remaja, anda perlu mengharunginya dengan matang. Cuba belajar untuk mengubati kekecewaan. Tidak semestinya rasa kecewa itu akan berterusan kerana jika kita yakin dan terus bersemangat pasti ada harapan pada masa depan.

Rabu, 19 Januari 2011

Engkaukah Pencinta Wanita..??


As-Salaa mu ‘Alaikum…

Em, semalam semasa aku balik dari library, ketika sampai sahaja di rumah sewa kawanku. Aku terpandang dan terdengar sebuah klip video lagu

‘aku memang pencinta wanita…
namun ku bukan buaya…
aku memang pencinta wanita…
yang lembut seperti dia…
bla, bla, & bla lagi..’

huhu, aku pun terlayan lah sekali… em, yap. Dalam tak sedar sampai habis aku layan.

Menurut apa yang diberitahukan kepada-ku, lagu ini adalah merupakan antara lagu yang terfamous di corong-corong radio masa ini.

Selepas je habis lagu tu, aku terus terbaring. Fikiran terus melawang memikirkan beberapa rangkap lagu tadi. Em, Setakat manakah kau mencintai wanita?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...