Sabtu, 28 Mei 2011

Tazkirah: Jahil Tapi Berfatwa?

Assalamu'alaikum Wrt. Wbt.


Untuk post kali ini,saya ingin berkongsi dengan sahabat dan saudaraku sekaliannya tentang FATWA.Email yang diterima ini saya kongsikan bersama untuk kita sama-sama fahamkan seterusnya menilai dan muhasabah diri untuk memperbaiki diri kita sendiri.Mudah-mudahan artikel ini dapat dijadikan panduan kepada kita yang kurang berpengetahuan tentang fatwa.InsyaAllah..:-


Jahil Tapi Berfatwa: ahrasis.com


Segala puji bagi Allah SWT yang menurunkan kepada para hambaNya kitab Al-Quran yang tiada padanya keraguan atau kesesatan melainkan orang-orang yang mempelajarinya tanpa berguru dengan yang hak. Selawat dan Salam ke atas Nabi kita dan Tuan kita Nabi Muhammad SAW, doa yang menyelamatkan kita di dunia dan akhirat, juga ke atas sekelian ahli keluarga, para sahabat dan sekelian pengikut Baginda SAW sehingga ke hari pembalasan kelak.


Para pembaca yang budiman,

Topik kali ini dipetik daripada Grup Tahu Faham & Amal dengan tajuk asalnya: Peringatan Kepada Orang Yang Jahil Namun Berani Mengeluarkan Fatwa Tentang Hukum Hakam Agama. Semoga kita semua diberikan petunjuk oleh Allah SWT ke arah jalan yang lurus lagi diberikan nikmat ke atas mereka seperti jalan para Nabi, Siddiqin, Syuhadak dan orang-orang Soleh sekeliannya. Amin.


= Artikel Bermula =
Sudah terdapat segelintir individu  samada melalui Facebook,  forum soal jawab agama, blog dan melalui saluran yang ada di internet mahupun di luar sana yang amat berani mengeluarkan 'fatwa' dan pendapat sendiri dengan terus mengambil melalui Al-Quran dan Al-Hadith walaupun dalam keadaan jahil dan kekurangan ilmu-ilmu alat yang penting sebelum melayakkannya mengeluarkan sebarang pendapat mengenai hukum hakam agama.

Bagaimanakah  adabnya para Salafussoleh (mereka yang hidup di 3 kurun terbaik seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam) sebelum berani mengeluarkan fatwa?

Dari AbduLLah ibn Amr radiyaLLahu ‘anhu bahawa RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud :

"ALLah subhanahu wa ta’ala tidak akan mengangkat ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya dari hati ulama, tetapi dengan cara mematikan mereka, dan jika sudah tidak ada lagi seorang ulama yang masih hidup, maka manusia akan mengangkat pemimpin di kalangan orang-orang yang jahil (bodoh), jika (para pemimpin tersebut ditanya tentang kemusykilan agama) maka mereka akan berfatwa tanpa dasar ilmu, dengan itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan." (Riwayat Bukhari dan Muslim)



(Sheikh) Professor Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam kitabnya Al-Fatwa Bayna Al-Indibat at-Tasayyub (Fatwa Antara Ketelitian Dan Kecerobohan) menyatakan seorang mufti atau faqih yang menempati kedudukan Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wasallam dalam menyampaikan ketentuan hukum hakam Allah mesti mempunyai kapasiti (kemampuan) yang besar tentang ilmu-ilmu Islam. Antaranya:

1. Merangkumi selok-belok Bahasa Arab.

2. Pemahaman yang benar dan pengetahuan yang cukup tentang serba serbi kehidupan dan corak ragam manusia.

3. Kepakaran yang handal dalam menggali dan merumuskan suatu hukum berdasarkan kaedah-kaedah ijtihad.



Siapakah antara ciri-ciri mereka yang dilarang untuk berfatwa? Mereka ialah:

1. Orang yang tidak memiliki kemampuan dan pengetahuan tentang Bahasa Arab dengan selok beloknya termasuk ayat dan sasteranya agar membolehkannya memahami al Quran dan As-Sunnah tidak dibenarkan memberikan fatwa kepada manusia.

2. Orang yang tidak arif dan mengerti pendapat para ulamak terdahulu dari berbagai mazhab feqah dan tidak mengerti methodologi pengambilan hukum dan hal-hal yang berkaitan dengannya seperti mengetahui perkara-perkara yang disepakati bersama atau masih dalam pertikaian tidak dibolehkan mengeluarkan fatwa.

3. Orang yang tidak memiliki kepakaran dalam bidang Usul Feqah seperti mengenali Al-Qiyas dan Al-Illah; pada situasi apakah Al-Qiyas dibolehkan dan pada situasi apakah Al-Qiyas tidak dibenarkan.

4. Orang yang tidak menghayati pendapat para fuqahak yang tercantum dalam kitab-kitab mereka secara mendalam.

5. Orang yang tidak memiliki kepakaran dalam melakukan penelitian ke atas perbezaan pendapat di antara mereka dan mengenalpasti kaedah yang digunakan mereka dalam menggali hukum hakam syarak.



Al-Hafiz Al-Khatib Al-Baghdadi meriwayatkan dalam kitabnya "Al-Faqih Wal-Mutafaqqih" dari Al-Imam Syafi'e radiyaLlahu anhu berkata:
"Tidak dihalalkan bagi seseorang berfatwa mengenai agama Allah, kecuali seorang yang arif dengan Kitab Allah (Al-Quran), Nasikh dan Mansukh, Muhkam dan Mutasyabih, Ta'wil dan Tanzil, Makkiyah dan Madaniyyahnya; Apa yang dimaksudkan dengan satu-satu ayat; dalam masalah apa ia diturunkan. Selain itu, dia juga mesti menguasai hadith Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wasallam; Nasikh dan Mansukhnya. Pengetahuannya mengenai hadith Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam mesti setaraf pengetahuannya mengenai Al-Quran. Dia mesti juga menguasai Bahasa Arab; arif akan selok belok sya'ir, dan disiplin ilmu yang lain yang diperlukan untuk memahami Al-Quran.

Di samping itu, dia juga mesti menahan diri daripada (seronok) bercakap. Dia dituntut juga untuk memahami perbezaan pendapat di kalangan para ulama, selain harus memiliki kemampuan atau kepakaran dalam mengambil ketentuan hukum (istinbat). Jika semua syarat-syarat ini telah dimilikinya, maka barulah boleh baginya bercakap dan berfatwa tentang halal dan haram. Namun jika belum sampai pada darjat ini, dia hanya boleh membincangkan tentang ilmu pengetahuan, tetapi tidak dibenarkan untuk berfatwa."
 (Al-Faqih wal-Mutafaqqih, Juz 2, hlm 157, Cetakan Riyadh, Saudi Arabia)


Imam Ahmad Ibn Hanbal RadiyaLlahu anhu telah memberikan panduan dalam masalah ini, katanya:
"Seseorang tidak boleh menawarkan dirinya untuk berfatwa sebelum ada pada dirinya lima perkara:

Pertama: Mempunyai niat yang ikhlas. Sebab jika tiada niat (ikhlas), dia tidak akan mendapat cahaya (petunjuk) dalam melakukan fatwanya.

Kedua: Hendaklah dia mempunyai sifat kasih, rendah hati (tawadhuk) dan ketenangan jiwa.

Ketiga: Mempunyai keyakinan yang teguh dengan tugasnya dan memahami betul soalan yang sedang dihadapinya.

Keempat: Hidupnya dalam kecukupan, kerana jika tidak, dia akan dipengaruhi oleh orang yang berkepentingan.

Kelima: Mempunyai maklumat yang cukup tentang adat- istiadat dan selok belok kehidupan manusia."
 (Ibn Battutah, disalin oleh Ibn Qayyim dalam "Ilamul Muwaqqi'in" Juz 4 Hlm 199)


Larangan orang yang berfatwa tanpa dasar ilmu (jahil)

Imam Abu Hanifah radiyaLlahu anhu berpendapat :
"Wajib menghalang orang bodoh (mufti jahil) dan orang yang mempermainkan agama dari mengeluarkan fatwa".


Seorang lelaki pernah melihat Rabi'ah Ibn Abd Rahman, guru kepada Imam Malik sedang menangis, lalu ditanya:
"Hal apakah yang menyebabkan tuan menangis? Jawabnya: Ada seorang yang telah diminta untuk berfatwa, walhal dia tidak mengerti apa-apa dan fatwanya itu telah memudaratkan umat Islam, kerana itu, katanya lagi: "Sebahagian mufti lebih berhak masuk penjara daripada para pencuri."


Ibn Qayyim meriwayatkan dari beberapa ulama sezamannya:
"Bagaimana jika Rabi'ah menyaksikan zaman kita ini, dimana orang yang tidak berilmu berani memberikan fatwa dengan modal kejahilan dan keberanian semata-mata, pengalaman yang sedikit dan pengetahuan yang dangkal, tambahan pula memiliki sejarah hidup yang tidak elok dan tidak dikenal di kalangan para ulama. Pengetahuannya tentang Al-Quran, As-Sunnah dan ilmu-ilmu ulamak salaf sangat cetek dan dangkal. (Ibn Qayyim, I'lamul Muwaqqi'in, Juz 4, hlm 207-208)


Abu 'Abdillah Ibn Battutah meriwayatkan dari Al-A'masy dari Syaqiq dari Abdullah Ibn Mas'ud radiyallahu anhu berkata:
"Demi Allah, seseorang yang memberi fatwa bagi setiap soalan adalah orang gila!"

 

Al Hakam pernah berkata kepada Al-A'masy setelah mendengar riwayat tadi:
"Jika aku mendengar hadith tersebut dari dahulu lagi, nescaya aku tidak akan banyak berfatwa seperti apa yang telah aku lakukan selama ini". Kemudian Abu 'Abdillah menambahkan: Ini Abdullah Ibn Mas'ud bersumpah dengan nama Allah bahawa sesiapa berfatwa untuk setiap soalan adalah orang gila, sumpah beliau pasti benar, kalau begitu kebanyakan mufti pada zaman kita ini sudah menjadi gila! Mengapa? Kerana setiap mufti yang ditanya akan langsung memberi jawapan, tanpa berfikir lebih jauh atau berkata tidak, atau takut kerana Allah Subahanahu Wa Ta'ala (jika fatwanya salah), atau tidak takut untuk disoal balik: "Dari mana jawapan ini kami dapat? Akan tetapi yang paling mereka takuti dan gerun adalah sindiran bahawa dia tidak dapat menjawab soalan.

Pada hakikatnya dia telah melakukan perbuatan yang sangat besar yang tidak mampu dilakukan oleh orang yang lebih tinggi, luas dan dalam ilmu agamanya daripada dirinya, dan dia telah melakukan satu praktik perubatan yang tidak mampu dilakukan oleh seorang doktor yang sangat pakar."



Rujukan: (Sheikh) Professor Dr Yusuf Al-Qardhawi, Al-Fatwa Bayna Al-Indibat At-Tasayyub, (Fatwa & Antara Ketelitian & Kecerobohan), 1996, Thinker's Library, Selangor.
= Artikel Tamat =


Para pembaca yang dirahmati Allah sekelian,

Hendaknya kita selalu insaf akan segala kelalaian, kesilapan dan kesalahan kita dan senantiasalah bermuhasabah dan memperbaiki diri kita! Semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada lalai dan leka, juga daripada maksiat dan berdosa. Senantiasalah kita bertaubat kembali kepadaNya dan mengajak sekelian ahli keluarga serta masyarakat kita bersama-sama bertaubat kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang berjaya di dunia dan akhirat senantiasa memeriksa diri dan perbuatan mereka, kemudiannya memperbaiki diri, keluarga dan masyarakatnya, serta memastikan segalanya senantiasa berada di jalan yang lurus lagi diredhai Allah SWT.

Allahu Wa Rasuluhu A'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...